Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan Fakulti baru Unitar

Kursus Tempoh
1 Ijazah Pengurusan Hospitaliti 3 tahun
2 Diploma Pengurusan Hotel 2 tahun 4 bulan
3 Diploma Seni Kulinari 2 tahun 4 bulan
4 Diploma Pengurusan Pelancongan 2 tahun 4 bulan
5 Diploma Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan 2 tahun 4 bulan
Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) akan melancarkan sebuah lagi fakulti baru pada Januari ini.

Fakulti Pengurusan Hospitaliti & Pelancongan yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Perhotelan & Pelancongan Institut Tun Abdul Razak Petaling Jaya (ITTAR), dinaikkan tarafnya setelah Unitar dan ITTAR bergabung secara rasmi mulai 1 Januari 2006.

Kedua-dua institusi berkenaan adalah anak syarikat KUB Malaysia Berhad, yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia.

Fakulti baru itu akan menawarkan kursus-kursus peringkat diploma dan ijazah seperti Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan dan ijazah sarjana muda Pengurusan Hospitaliti.

Untuk memastikan kursus-kursus yang ditawarkan oleh Fakulti ini berkualiti tinggi dan berdaya saing, pihak pengurusan universiti telah memastikan setiap kursus direka khusus agar ia mencakupi ilmu-ilmu yang penting, daya pemikiran dan kebolehan berfikir secara kritikal, keusahawanan, kaunseling dan komunikasi berkesan agar setiap subjek memberi kelebihan tambahan kepada para pelajar.

Di Unitar, pembelajaran tidak terhad di kuliah kerana teknik mengajar hanyalah salah satu komponen utama pendidikan.

Penekanan juga diberikan kepada penyelidikan kerana ia memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti sesebuah Fakulti.

Kesemua faktor ini diambil kira oleh pihak pengurusan untk memastikan para graduan yang dihasilkan memenuhi kehendak industri dan cukup bersedia untuk memasuki pasaran kerja setelah menerima ijazah kelak.

Bagi memastikan para pelajar mendapat pendidikan dan latihan yang terbaik, fakulti ini mempunyai 42 orang tenaga pengajar yang berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hospitaliti dan pelancongan.

Selain tenaga pengajar yang ramai dan berkualiti, Fakulti ini mempunyai kemudahan-kemudahan yang terbaik seperti tiga buah dapur latihan, sebuah replika bilik hotel mewah junior, sebuah replika kaunter hadapan, perpustakaan, makmal-makmal komputer dan pelbagai kemudahan lain untuk pelajarnya.

Untuk memastikan para pelajar mudah mendapat kerja sebaik sahaja tamat pengajian, mereka diwajibkan mengikuti latihan praktikal sebanyak dua kali sewaktu masih dalam pengajian.

Latihan praktikal pertama akan diadakan di Hotel Singgahsana yang terletak bersebelahan dengan Fakulti di Petaling Jaya.

Hotel Singgahsana yang bertaraf tiga bintang itu adalah salah sebuah anak syarikat Kumpulan KUB Malaysia Berhad. Kerjasama antara Unitar dan Hotel Singgahsana ini adalah kelebihan yang tidak terdapat pada universiti­ universiti swasta lain.

Latihan praktikal kedua pula boleh dilakukan di mana-mana hotel bertaraf empat atau lima bintang di Malaysia.

Para pelajar diberi peluang memilih hotel yang mereka inginkan contohnya yang berdekatan dengan kampung halaman mereka seperti di Sabah dan Sarawak.

Selain pengalaman praktikal di hotel-hotel di negara ini, para pelajar juga berpeluang menimba pengalaman bekerja di luar negara seperti di Brunei dan Arab Saudi.

Setiap tahun, tiga hingga lima orang pelajar akan dipilih oleh Fakulti untuk membantu pengurusan dapur pihak Tabung Haji yang menyediakan makanan untuk para jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah, sekali gus, menunaikan fardu haji mereka. Pelajar-pelajar Fakulti itu juga pernah beberapa kali dijemput untuk mengambil bahagian dalam upacara perkahwinan kerabat di raja Brunei.

Sejak dilancarkan pada tahun 1997, Sekolah Perhotelan dan Pelancongan ITTAR telah berjaya menghasilkan lebih kurang 1,600 graduan dan lebih separuh daripadanya berjaya mendapat tempat dalam industri perhotelan dan pelancongan termasuk memegang jawatan pengurus tahap pertengahan dan atasan.

Ada juga yang memilih untuk membuka perniagaan sendiri manakala graduan yang bercita-cita tinggi pula bekerja untuk hotel-hotel antarabangsa seperti di Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Fakulti bercadang untuk menawarkan kursus-kursus pada peringkat sarjana dan kedoktoran pada masa depan untuk menggalakkan para pelajar khususnya Bumiputera mengambil peluang untuk maju dalam industri pelancongan dan hospitaliti serta memainkan peranan membangunkan industri dan membina daya saing dalam pasaran.

Bagi yang berminat untuk menyertai Fakulti ini boleh mendaftar mulai Januari 2006 ataupun pada bulan April, Ogos dan September setiap tahun.

Yuran pembelajaran untuk kursus diploma berjumlah lebih kurang RM15,000, manakala, untuk ijazah yuran untuk keseluruhan kursus lebih kurang RM30,000.

UNITAR mempunyai tiga lagi fakulti iaitu Fakulti Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Informasi Teknologi dan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Turut disediakan ialah Pusat Pengajian Sarjana yang menawarkan kursus­kursus sarjana dan doktor falsafah.

Selain itu, ia juga mempunyai beberapa cawangan di Alor Star, Perai, Ipoh, Johor Bahru, Kota Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Untuk maklumat lanjut mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di Unitar, sila emel kepada crm@unitar.edu.my atau hubungi talian 03-78092020. - BH